Pogba cerahkan peluang Juventus

Pogba cerahkan peluang Juventus

MILAN, 10 April (AFP) – Paul Pogba menyumbat gol kemenangan di babak kedua sekali gus mencerahkan peluang Juventus meraih gelaran Serie A kelima berturut-turut apabila menewaskan AC Milan 2-1, pagi tadi.

Juventus, yang kali terakhir menggenggam lima gelaran berturut-turut pada 1935, kini sembilan mata di depan pasukan tangga kedua Napoli, yang akan menjadi tuan rumah kepada Verona, malam ini.

Kekalahan kedua berturut-turut Milan menyukarkan peluang pasukan gergasi bergelut Serie A itu memburu tiket ke Liga Europa pada musim depan.

Anak buah Sinisa Mihajlovic kekal di tangga keenam, tetapi mungkin jurang bertambah kepada 10 mata di belakang pasukan tangga kelima Fiorentina sekiranya mereka menewaskan Empoli, malam ini.

Pogba meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan pada perlawanan di Stadium San Siro, Milan.
Pogba meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan pada perlawanan di Stadium San Siro, Milan.

“Amat sukar bercakap mengenai perlawanan yang kami tewas apabila sepatutnya kami perlu mendapatkan keputusan yang lebih baik,” kata Mihajlovic.

“Kita tidak sempurna, tetapi saya secara keseluruhan berpuas hati dengan pemain kerana mereka meletakkan banyak watak dan berjuang ke dalam permainan.

“Saya berharap mereka akan menunjukkan permainan yang sama pada minggu-minggu akan datang.”

Bagaimanapun, Milan terlebih dahulu di depan apabila Alex Sandro menanduk masuk hasil sepakan sudut yang diambil Mario Balotelli pada minit ke-18.

Namun, Mario Mandzukic menyamakan kedudukan hanya selepas setengah jam perlawanan berlangsung sebelum Pogba muncul wira pasukan pada minit ke-65.