Pogba kurang menyerlah

Pogba kurang menyerlah

MARSEILLE, 10 Julai – Euro 2016 sepatutnya menonjolkan aksi Paul Pogba dan seharusnya menjadi pentas yang akan membuatkan kelab yang mahu mendapatkan khidmat pemain itu daripada Juventus perlu membayar harga yang memecah rekod dunia.

Bagaimanapun, kemunculan Antoine Griezmann yang mempamerkan aksi menakjubkan sewaktu Perancis menumbangkan Jerman dan Iceland menenggelamkan bayangan rakan sepasukannya itu.

Pogba pada awalnya dijangka menyerlah dalam Euro kali ini menerusi kemahirannya mengawal bola dan jaringan jarak jauh yang menjadikannya cemerlang dalam liga Itali.

Walaupun kurang menyerlah, namun terdapat khabar angin mengatakan Manchester United dan Real Madrid bersedia mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu dengan nilai tinggi.

Paul Pogba ditenggelamkan oleh aksi Antoine Griezmann yang lebih menyerlah dalam saingan Euro 2016. - AFP
Paul Pogba ditenggelamkan oleh aksi Antoine Griezmann yang lebih menyerlah dalam saingan Euro 2016. – AFP

Pemain tengah itu mempamerkan aksi sederhana sahaja dalam empat perlawanan pertama Euro.

Bekas penyerang Les Bleus, Thierry Henry bagaimanapun tetap yakin dengan keupayaan Pogba dan menganggap prestasi terbaiknya masih belum tiba.

“Lupakan mengenai Perancis, saya rasa dia mampu menjadi pemain tengah terbaik dalam sejarah. Dia mempunyai kualiti untuk menjadi seperti itu,” katanya. – AFP