Pogba lengkapkan perpindahan termahal

Pogba lengkapkan perpindahan termahal

MANCHESTER, United Kingdom, 9 Ogos – Bintang Perancis, Paul Pogba hari ini melengkapkan kepulangannya ke Manchester United dari Juventus dengan laporan bayaran rekod dunia.

United berkata Pogba telah menandatangani kontrak lima tahun tanpa menyatakan kos yang dianggarkan media British sebanyak 89 juta pound (AS$116.4 juta), tidak termasuk yuran ejen.

Angka itu akan menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu mengatasi 85 juta pound bayaran Real Madrid kepada Tottenham Hotspur untuk Gareth Bale pada 2013. “Ini adalah kelab yang besar bagi saya untuk mencapai segala yang saya harap dalam permainan,” kata Pogba.

Pogba pindah ke Itali apabila United melepaskannya selepas kontraknya mansuh pada 2012. “Saya gembira menyertai semula United. Ia selalu menjadi kelab dengan tempat yang istimewa di hati saya dan saya bersedia untuk bekerjasama dengan Jose Mourinho,” tambah Pogba.

Pengurus United, Mourinho ditugaskan untuk membawa kembali zaman kegemilangan kepada juara Inggeris 20 kali itu selepas tiga tahun yang sukar sejak persaraan Alex Ferguson.

Pogba ketika menyarung jersi Perancis untuk aksi semi final Euro 2016 menentang Jerman dalam gambar fail 7 Julai lalu. Pogba menyertai Man United setelah melengkapkan perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak dengan nilai 89 juta pound. – AFP
Pogba ketika menyarung jersi Perancis untuk aksi semi final Euro 2016 menentang Jerman dalam gambar fail 7 Julai lalu. Pogba menyertai Man United setelah melengkapkan perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak dengan nilai 89 juta pound. – AFP

Dan bekas bos Chelsea itu percaya Pogba boleh memberikan inspirasi kebangkitan semula United. “Dia mempunyai peluang untuk menjadi pujaan kelab ini bagi sedekad dan seterusnya,” kata Mourinho.

“Paul adalah salah seorang pemain terbaik dunia dan menjadi kunci penting United yang saya mahu tempa bagi masa depan di sini. Dia begitu pantas, kuat, menjaringkan gol dan membaca permainan lebih baik berbanding ramai pemain yang lebih tua darinya.”

Pogba membuat tujuh kemunculan di United ketika remaja, tetapi kembali sebagai salah seorang pemain terkenal dunia selepas memenangi empat gelaran Serie A dan membawa Perancis ke final Euro 2016. “Terima kasih @juventusfc dan semua Juventini. Ucapan selamat tinggal tidak bermakna apa-apa, masa bersama yang kita luangkan itu penting,” jelas Pogba dalam akaun Twitter rasminya. – AFP