Pogba tak sabar buru kegemilangan

Pogba tak sabar buru kegemilangan

LONDON, 10 Ogos – Selepas menjalani ujian perubatan kelmarin, Paul Pogba tidak sabar-sabar untuk kembali berkhidmat buat Manchester United, kelab yang ditinggalkan empat tahun lalu bagi menyertai Juventus.

Bintang tengah Perancis itu melengkapkan perpindahan ke Old Trafford kelmarin dengan menandatangani kontrak lima tahun yang memecah rekod dunia 89 juta pound, tidak termasuk yuran ejen.

Perpindahan pemain berusia 23 tahun itu mengatasi rekod dunia 85 juta pound yang sebelum ini dibayar Real Madrid untuk membawa masuk bintang sayap Wales, Gareth Bale daripada Tottenham Hotspur pada 2013.

“Saya memilih kelab yang tepat untuk mencapai apa yang saya impikan dalam bola sepak selama ini,” kata Pogba.

Pogba nampaknya telah melupakan detik kurang menggembirakan sepanjang menyarung jersi United dari 2009-2011 apabila dia dibenarkan untuk berpindah ke Itali secara percuma pada 2012 ekoran tidak lagi diperlukan di Old Trafford.

Pemain termahal dunia Pogba bakal memberikan kesan terhadap perjuangan Manchester United dalam kancah Liga Perdana Musim ini. – AFP
Pemain termahal dunia Pogba bakal memberikan kesan terhadap perjuangan Manchester United dalam kancah Liga Perdana Musim ini. – AFP

“Saya gembira untuk kembali ke Old Trafford. United sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati saya dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan antara pengurus terbaik dunia, Jose Mourinho,” kata Pogba lagi.

Mourinho menggalas tugas berat untuk mengembalikan zaman kegemilangan United selepas juara Liga Perdana Inggeris 20 kali itu agak terumbang ambing sejak ditinggalkan oleh Alex Ferguson, tiga tahun lalu.

Bekas pengurus Chelsea itu percaya, Pogba mampu menjadi pemain yang akan memberi inspirasi kepada United untuk bangkit.

“Dia ada peluang untuk menjadi ‘jantung’ kelab selama beberapa dekad ini. Paul antara pemain terbaik dunia dan dia akan menjadi kunci utama kepada United.

“Saya mahu membina pasukan ini untuk masa depan, jadi saya memerlukan pemain sepertinya yang laju, kuat, boleh menjaringkan gol serta mampu membaca pergerakan pemain lain,” kata Mourinho.

Pogba hanya membuat tujuh penampilan dalam tempoh singkat bersama United, tetapi dia akan kembali ke kelab itu sebagai pemain terkenal dan terbaik dunia yang telah memenangi empat kejuaraan Serie A berturut-turut, selain membawa Perancis mara ke final Euro 2016. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA