Pogba temui rentak

Pogba temui rentak

AMSTERDAM, 11 Okt – Jaringan babak pertama Paul Pogba membantu Perancis meraih kemenangan 1-0 ke atas Belanda dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018, awal semalam.

Selepas dikritik jurulatih Didier Deschamps ekoran prestasinya walaupun pasukan mencatat kemenangan 4-1 ke atas Bulgaria Jumaat lalu, pemain termahal dunia itu kembali bangkit membuktikan kemampuannya buat Les Bleus di Amsterdam.

Midfield Manchester United itu meledak jaringan dari jarak 25 meter pada minit ke-30 yang menyaksikan penjaga gol Belanda, Maarten Stekelenburg gagal menyekat rembatan itu.

“Saya tidak bercakap dengannya (Pogba), saya hanya bercakap beberapa patah saja sebelum dia memasuki bilik persalinan, ‘saya mempunyai keyakinan terhadap kamu’,” kata Deschamps.

“Perlawanan itu membuktikan apakah kemampuannya. Pogba lebih bagus dalam apa juga yang dilakukannya. Dia menunjukkan kemampuannya.

Pogba menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan selepas menjaringkan gol, kelmarin. – AP
Pogba menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan selepas menjaringkan gol, kelmarin. – AP

“Kami tidak pernah sangsi dengan apa yang boleh dilakukannya. Kami tidak sepatutnya lupa bahawa Paul ini masih muda dan masih boleh meningkat.”

Perancis yang tewas di halaman sendiri di pentas final Euro 2016, kini berkongsi tujuh mata di puncak Kumpulan A bersama Sweden yang menewaskan Bulgaria 3-0 di laman sendiri di Solna. Kedua-dua pasukan itu dijadual beraksi 11 November ini di Stade de France.

Sementara itu, Pogba, 23, berkata: “Sekiranya pasukan berdepan perlawanan yang bagus maka saya juga akan menerima perkara sama dan begitu juga sebaliknya.

“Kami tidak akan bercakap mengenai prestasi individu. Benar, tidak elok apabila mendengar kritikan terhadap diri saya. Tidak ada sebarang jawapan untuk itu dan hari ini pasukan bermain dengan baik.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA