Pokemon Go boleh mendatangkan ancaman sekiranya pengguna obsesi

Pokemon Go boleh mendatangkan ancaman sekiranya pengguna obsesi

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kegilaan masyarakat global terhadap permainan baharu telefon pintar dalam talian Pokemon Go mungkin mendatangkan kemudaratan serta ancaman jika ia tidak diawasi dan pengguna menjadi obsesi.

Pengarah Onemyr Awareness Management Mohd Ridzman Azzahari berkata masyarakat harus dilengkapi dengan ilmu mengenai kaedah terbaik untuk bermain permainan ini dan tidak menyalahgunakan WiFi awam untuk kegunaan peribadi termasuk bermain Pokemon Go, terutamanya di pejabat kerajaan.

“Perlu ada satu garis panduan yang menetapkan kawasan larangan untuk bermain permainan ini seperti dilakukan negara jiran. Adakan larangan bermain di pejabat pentadbiran kerajaan atau kawasan pasukan keselamatan.

“Selanjutnya, jalankan kajian mengenai tahap obsesi pengguna dan masalah yang mungkin timbul disebabkan permainan ini.

“Dengan cara ini, kita akan mempunyai kawalan yang lebih berkesan terhadap permainan ini. Kita tak boleh jadikan negara lain sebagai contoh untuk kita terus menghukum dengan mengharamkan permainan ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai ancaman permainan ini kepada keselamatan negara, Mohd Ridzman yang juga Perunding Teknologi Maklumat tidak menolak kemungkinan ia akan memberi kesan sekiranya pengguna menggunakan WiFi pejabat pentadbiran kerajaan dan pasukan keselamatan.

“Aplikasi permainan seperti Pokemon Go ini memerlukan capaian Internet dan sudah tentu pekerja akan menggunakan WiFi di premis untuk bermain.

“IP (Internet Protokol) address WiFi di premis berkenaan akan terdedah jika digunakan untuk bermain permainan ini dan memudahkan penggodam untuk mendapatkan maklumat penting kerajaan untuk pelbagai tujuan.

“Paling penting di sini ialah jangan salah gunakan WiFi pejabat untuk apa sahaja tujuan peribadi, bukan hanya bermain Pokemon Go semata-mata. Perlu ada pemantauan pihak berwajib dalam aspek ini,” katanya.

Beliau berkata terdapat kemungkinan maklumat akan dijual dan dijadikan berita sensasi untuk kepentingan individu tertentu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA