Pokok paling awal di dunia, dipindahkan ke muzium

Pokok paling awal di dunia, dipindahkan ke muzium

BONN, Jerman, 1 Sept (dpa) – Fosil pokok primitif yang digali di Jerman pada 2008 dan 2009 adalah bukti bagi pokok paling tua di dunia, menurut ahli saintis.

Pokok berkenaan dikatakan telah wujud sejak 390 juta tahun yang lalu – ‘sebelum era dinosaur lagi’, ujar jurucakap Muzium Negara di Bonn, Stephanie Mueller.

Tumbuhan seperti pokok itu dikenali sebagai Calamophyton, dengan ketinggian kurang daripada tiga meter dan mungkin hanya tumbuh di pulau berpasir di lautan cetek yang luas yang kemudiannya menjadi sebuah rantau bergunung dikenali sebagai Bergisches Land.

Pada waktu itu, rantau berkenaan terletak berhampiran khatulistiwa dan menerima iklim tropika sepanjang tahun.

Para saintis mensyaki bahawa tanaman itu telah dihanyutkan ke laut disebabkan banjir, kemungkinan akibat tsunami yang berpunca daripada gempa bumi atau gelongsor besar cerun benua.

Blok fosil berkenaan akan dipamerkan Sabtu ini di jabatan arkeologi di muzium Bonn.

Pihak Berkuasa Serantau Rhineland (LVR) mengatakan pengiraan saintifik menentukan serpihan yang ditemui berhampiran perbandaran Lindlar di tebing timur Sungai Rhine sebagai Middle Devonia. Sebelum itu, hampir kebanyakan tumbuhan daratan adalah lembut dan rendah.

ARTIKEL YANG SAMA