Poland belasah Gibraltar 8-1

Poland belasah Gibraltar 8-1

WARSAW, 9 Sept – Robert Lewandowski, Kamil Grosicki dan Arek Milik semuanya menghasilkan dua gol ketika Poland bangkit daripada kekalahan di tangan Jerman minggu lalu dan menjadikan Gibraltar mangsa dendam apabila membelasah pasukan pelawat berkenaan 8-1 pada kempen kelayakan Euro 2016. Poland kini menduduki tangga kedua Kumpulan D dengan 17 mata, dua mata di belakang pendahulu, Jerman dengan berbaki dua perlawanan.

Ireland menduduki tangga ketiga dengan 15 mata diikuti Scotland yang mengumpul 11 mata. Dua pasukan teratas layak secara automatik ke pusingan akhir di Perancis tahun depan.

“Semuanya bergantung kepada kami dan jika kami bermain seperti ini, kami tidak perlu takut dengan sesiapapun,” kata Milik mengenai pertemuan menentang Scotland dan Ireland.

“Tempat kedua sudah cukup bagus setakat ini dan kami hanya perlu melakukan apa yang terdaya untuk membolehkan kami layak dan kami tidak boleh melepaskan peluang.”

Grosicki meledak dua gol sepanjang 15 minit pertama sebelum Lewandowski menambah dua lagi jaringan untuk meletakkan Poland mendahului 4-0 sebelum rehat.

Milik menjaringkan dua lagi gol pada babak kedua sebelum Jakub Blaszczykowski menambah gol keenam menerusi penalti sambil Bartosz Kapustka melengkapkan kemenangan bergaya Poland. Gibraltar yang menjadi anggota terbaru UEFA, hanya menurunkan seorang pemain profesional – Jake Gosling dari Bristol Rovers – dan dia menjaringkan gol sagu hati pasukannya pada minit ke-87.

Ia adalah gol kedua pasukannya sepanjang kempen kelayakan tetapi ia tidak cukup untuk melonjakkan semangat juang pemain. Gibraltar kini terperosok di dasar liga apabila gagal mengumpul sebarang mata. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA