Polis anjur kempen derma darah

Polis anjur kempen derma darah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Sebagai komitmen untuk menghulurkan bantuan kebajikan dan khidmat bakti kepada masyarakat, Pasukan Polis Diraja Brunei memulakan Kempen Menderma Darah Bersempena Sambutan Hari Polis ke-95 di Dewan Serbaguna, Pusat Latihan Polis, Gadong, hari ini.

Kempen anjuran bersama dengan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu dibukakan kepada anggota polis untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara anggotanya dan sebagai usaha berterusan untuk menabur bakti dan membantu menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Ia merupakan kempen menderma pertama daripada lapan kempen yang akan diadakan bukan sahaja di Daerah Brunei dan Muara tetapi juga di daerah-daerah lain dengan kempen pertama disertai oleh Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan, Jabatan Gerakan, PGK, RU ‘B’ dan ‘D’ Kompeni, Polis Lapangan Terbang, Pancaragam Polis, Urus Setia PJP, Jabatan Perisikan Jenayah, Jabatan Logistik dan Pusat Latihan Polis.

Lebih 80 orang anggota polis menyertai kempen yang diadakan bermula dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi dan disambung lagi dari pukul 2 petang hingga 4 petang. Kempen serupa akan diteruskan di Dewan Polis Kawalan Diraja, Beribi bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi pada 19 Januari.

Kempen ini merupakan acara berterusan sebagai inisiatif Pasukan Polis Diraja Brunei untuk membantu pihak hospital menambahkan lagi stok darah bagi kegunaan mereka yang memerlukan.

Antara anggota polis yang menyertai kempen menderma darah yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pusat Latihan Polis.
Antara anggota polis yang menyertai kempen menderma darah yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pusat Latihan Polis.

ARTIKEL YANG SAMA