Polis Ankara, aktivis bertempur pada ulang tahun pengeboman

Polis Ankara, aktivis bertempur pada ulang tahun pengeboman

ANKARA, 10 Okt – Polis Turki menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk mencegah aktivis pro-Kurdish mengadakan bantahan bagi menandakan ulang tahun pertama hari ini berkaitan serangan paling teruk dalam sejarah modennya di bandar Ankara, menurut koresponden AFP.

Seramai 103 orang terkorban pada 10 Oktober 2015 apabila pengebom berani mati dikatakan berkaitan dengan kumpulan jihad Islamic State (IS) meletupkan dirinya di khalayak aktivis perdamaian pro-Kurdish yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di luar stesen kereta api utama Ankara.

Hampir 500 orang cedera, beberapa daripadanya masih lagi menerima rawatan.

Sekumpulan aktivis lebih 150 orang melaungkan ‘kerajaan sangat berbahaya’ ketika barisan polis dan trak meriam air enggan membenarkan mereka masuk ke tapak serangan itu untuk memperingati ulang tahun pertama, menurut koresponden.

Polis rusuhan bertempur dengan para pembantah yang berkumpul untuk menandakan ulang tahun pertama serangan pengeboman berkembar pada 10 Oktober di Ankara pada 10 Oktober. – AFP
Polis rusuhan bertempur dengan para pembantah yang berkumpul untuk menandakan ulang tahun pertama serangan pengeboman berkembar pada 10 Oktober di Ankara pada 10 Oktober. – AFP

Ratusan orang membawa sepanduk dan bendera dari pelbagai persatuan juga telah dihentikan oleh sekumpulan kira-kira 20 pegawai polis yang membawa perisai anti-rusuhan.

Polis kemudian menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah ke atas kumpulan itu, beberapa daripadanya membaling botol-botol dan batu-batu. Sebahagian lagi dipukul menggunakan belantan polis ketika mereka lari bertempiaran, menutup mulut mereka untuk mengehadkan kesan gas pemedih mata.

Namun para pembantah berkata saudara mangsa – termasuk ibu bapa dan kanak-kanak – telah dibenarkan masuk untuk memberi penghormatan mereka di tapak serangan sebelum acara memperingati bermula. – AFP