Polis AS dibebaskan daripada tuduhan bersalah

Polis AS dibebaskan daripada tuduhan bersalah

CLEVELAND, 24 Mei (AFP) – Seorang pegawai polis kulit putih Cleveland yang memanjat naik ke atas bumbung sebuah kereta dan melepaskan tembakan berkali-kali ke arah pasangan kulit hitam dalam tahun 2012 telah dibebaskan semalam dari tuduhan mengakibatkan kematian dengan sengaja.

Keputusan itu yang menimbulkan bantahan kecil, muncul di tengah ketegangan yang tersebar luas di Amerika Syarikat (AS) tentang layanan polis kepada bangsa kulit hitam ekoran kematian sebilangan orang berketurunan Amerika-Afrika di tangan penguat kuasa undang-undang.

Sebulan lalu, rusuhan meletus di Baltimore berhubung kematian Freddie Gray, 25 tahun yang mengalami kecederaan spina hingga maut ketika dalam tahanan polis. Enam orang pegawai polis telah didakwa. Polis peronda Cleveland, Michael Brelo, 31 tahun adalah salah seorang daripada 13 orang pegawai yang melepaskan tembakan ke arah Timothy Russell dan Malissa Williams ketika dalam kejadian kejar-mengejar polis pada 29 November 2012.

Kereta pasangan itu meletup-letup ketika ia dipandu melintasi ibu pejabat polis Cleveland dan polis menyangka ia adalah bunyi tembakan senjata.

Sejumlah 137 butir peluru telah dilepaskan ke arah kereta berkenaan, termasuklah 49 butir peluru oleh Brelo. Dia kemudian melepaskan tembakan 15 peluru terakhir dari bumbung Chevrolet Malibu milik Russels.

Hakim John O’Donnell mendapati Brelo tidak bersalah atas dua tuduhan sengaja mengakibatkan kematian dan juga membebaskannya daripada tuduhan serangan bunuh.

Brelo meminta hakim mendengarkan kesnya, bukan juri yang terdiri daripada rakan sebayanya.

O’Donnell berkata Brelo melepaskan dua tembakan yang boleh membunuh Williams dan satu tembakan yang boleh membunuh Russell, tetapi bukti tidak memenuhi standard mengakibatkan kematian dengan sengaja. “Bukti mengakibatkan kematian dengan sengaja memerlukan penemuan di luar keraguan munasabah,” kata hakim lagi.