Polis Australia banteras ‘kegilaan badut’

Polis Australia banteras ‘kegilaan badut’

MELBOURNE, 12 Okt – Badut-badut yang menimbulkan ketakutan di sekolah-sekolah di Victoria telah mengakibatkan pihak polis memberi amaran bahawa tidak akan ada lagi toleransi terhadap fenomena yang melanda Australia itu.

Trend itu yang melibatkan orang yang berpakaian seperti badut untuk menakutkan rakyat yang tidak menaruh syak wasangka, berasal dari AS tetapi terus merebak ke Australia bulan lalu.

Polis Victoria telah mengeluarkan kenyataan hari ini dengan mengatakan ia tidak akan bertoleransi dengan ugutan atau ‘perbuatan menakut-nakutkan’

dan mereka yang didapati bersalah terlibat dalam ‘kegilaan badut ini’ dan mengancam orang ramai akan berdepan hukuman penjara dua tahun.

Para pelajar di Kolej Saint Columba di Essendon, 10 kilometer barat laut daerah pusat perniagaan Melbourne (CBD)

telah dipindahkan keluar dari kelas mereka semalam selepas beberapa orang badut yang membawa senjata muncul di jalan raya di luar sekolah menengah itu.

Empat orang badut juga muncul di luar sebuah sekolah rendah di Elsternwick, sembilan kilometer tenggara CBD, cuba menakutkan kanak-kanak berusia antara lima dan 12 tahun ketika masa rehat tengah hari mereka.

Tiga orang lagi badut dilihat dan dikatakan membawa pisau palsu dan senapang mainan di Carrum Downs, 36 km tenggara CBD, tetapi menurut polis tiga telah meninggalkan tempat itu sebelum polis tiba. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA