Polis Bangladesh berkas 6 militan

Polis Bangladesh berkas 6 militan

DHAKA, 28 Julai (Reuters) – Polis di Bangladesh telah memberkas enam orang militan yang disyaki, termasuklah ketua kumpulan yang diharamkan, Jamaat-ul Mujahideen, ketika pihak berkuasa menghebatkan lagi tindakan ke atas para pejuang Islam berpendirian keras.

Bangladesh, negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam dengan bilangan penduduk 160 juta orang, menghalakan sasaran ke atas militan-militan selepas penyerang-penyerang bersenjatakan parang menetak hingga mati tiga pengkritik fahaman melampau agama online, termasuklah blogger Amerika, Avijit Roy pada tahun ini.

Polis juga merampas bahan letupan dan bahan lain membuat bom ketika serbuan semalaman ke atas tempat persembunyian para militan di ibu negara, Monirul Islam, pesuruhjaya bersama cawangan detektif polis Dhaka berkata hari ini.

“Ketika serbuan kami telah menangkap enam orang militan, termasuklah ketua pasukan pejuang Islam Jamaat-ul-Mujahideen,” tambahnya.

Para pegawai keselamatan India mengetahui komplot ke atas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada bulan Oktober, selepas dua anggota kumpulan itu terbunuh dalam satu letupan ketika membuat bom di negeri Barat Bengal, yang bersempadan dengan Bangladesh.

Kumpulan Jamaat-ul-Mujahideen yang diharamkan itu berusaha tidak dikesan selepas berdepan tindakan pihak berkuasa selepas ia meledakkan hampir 500 bom di seluruh negara hampir serentak pada hari sama pada tahun 2005.

Militan-militannya kemudian melancarkan serangan ke atas beberapa buah bangunan mahkamah, membunuh 25 orang dan mencederakan beratus-ratus lagi.

ARTIKEL YANG SAMA