Polis Bangladesh rampas dadah terbesar

Polis Bangladesh rampas dadah terbesar

DHAKA, 18 Jan – Bangladesh telah menyita 2.8 juta tablet methamphetamine yang dianggarkan bernilai AS$10.5 juta dalam rampasan dadah terbesar di negara itu, ketika ia bergelut untuk membendung kepopularannya yang semakin memuncak, menurut para pegawai hari ini.

Polis merampas dadah itu dalam serbuan semalaman pada Ahad di stesen landasan kereta api di Dhaka dan di pelabuhan bandar Chittagong, kata jurucakap elit Batalion Tindak Segera, Mejar Rumman Mahmud.

“Ia adalah rampasan terbesar tablet yaba di Bangladesh. Kami telah menangkap tiga penyeludup termasuk ketua sindiket yang berkaitan dengan rampasan itu,” Mahmud memberitahu AFP mengenai siasatan mereka, menambah yang dadah itu telah dihasilkan di negara jiran Myanmar.

Yaba, perkataan Thailand yang bermaksud ‘ubat gila’, diperbuat daripada methamphetamine dan kafein dan menjadi dadah popular dalam kalangan para belia di negara yang mempunyai penduduk 160 juta.

Polis di bandar selatan Teknaf, yang bersempadan dengan Myanmar, bersama Tentera Laut Bangladesh beberapa bulan kebelakangan telah merampas ratusan ribu dadah perangsang itu daripada para pedagang haram yang mencuba memasuki negara menerusi jalan laut dan darat.

“Sempadan Myanmar-Teknaf adalah laluan pengedaran utama apabila kartel dadah memperkenalkan yaba di Bangladesh.

“Namun kini mereka sering menggunakan laluan laut selepas banyak konsainan mereka dirampas di darat,” kata ketua polis Teknaf, Ataur Rahman Khan.

“Kelihatannya Bangladesh telah menjadi sasaran besar bagi kartel dadah antarabangsa,” kata Khan kepada AFP. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA