Polis bantu anak yatim, motivasi pelajar cemerlang

Polis bantu anak yatim, motivasi pelajar cemerlang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini mengadakan majlis penyampaian derma anak-anak yatim dan penyampaian hadiah pembelajaran cemerlang anak-anak polis yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Seri Bahrin bin Mohd Noor serta isteri Datin Rosminah binti Haji Abdul Hamid dan turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Haji Jammy bin Haji Mohd Shah Al-Islam serta isteri.

Seratus dua puluh anak-anak yatim terlibat di majlis penyampaian derma yang disumbangkan oleh Badan Kebajikan dan Sukan Polis Diraja Brunei dan Persatuan Kumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI).

Penyampaian hadiah pembelajaran cemerlang anak-anak polis bagi peringkat A dan O Level 2014 meneruskan agenda majlis menyaksikan tiga orang menerima keputusan cemerlang peringkat A Level dan tiga lagi menerima bagi keputusan cemerlang peringkat O Level.

Tetamu kehormat majlis menyampaikan hadiah di majlis tersebut.
Tetamu kehormat majlis menyampaikan hadiah di majlis tersebut.
Isteri Pesuruhjaya Polis Negara Brunei Darussalam, Datin Rosminah turut menyampaikan hadiah di majlis berkenaan.
Isteri Pesuruhjaya Polis Negara Brunei Darussalam, Datin Rosminah turut menyampaikan hadiah di majlis berkenaan.

Menurut kenyataan penganjur, Pasukan Polis Diraja Brunei mengambil berat akan kecemerlangan pembelajaran dan kebajikan anak-anak anggotanya dan majlis hari ini dihasratkan akan menjadi cetusan semangat di kalangan anak-anak polis untuk terus belajar dan memajukan diri supaya lebih berjaya di masa akan datang.

Sementara itu sumbangan derma pula diharapkan akan dapat membantu meringankan beban mereka sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dan sekali gus mengenang jasa baik ibu bapa mereka yang pernah berkhidmat dengan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Majlis disimpul dengan bacaan Doa Selamat yang disempurnakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA