Polis berkas 2 suspek kes bunuh

Polis berkas 2 suspek kes bunuh

KOTA KINABALU, 11 Okt – Polis menahan dua lelaki semalam kerana disyaki terlibat dalam kes kematian seorang pekerja wanita di sebuah spa di Tanjung Aru, 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu M. Chandra berkata suspek pertama berumur lingkungan 28 tahun diberkas kira-kira pukul 2:30 petang di sekitar Kota Kinabalu, manakala suspek kedua berumur 25 tahun pula ditahan kira-kira 11:30 malam tadi di Kota Marudu.

Menurut Chandra, kedua-dua suspek ditahan selepas polis mengklasifikasikan semula kes kematian wanita itu daripada mati mengejut kepada kes pembunuhan ekoran laporan bedah siasat yang dikenal pasti mempunyai kecederaan pada bahagian hidung dan mulut mangsa.

“Mengikut penelitian bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian gusi atas dan tulang hidung (patah) serta sebatang gigi kelihatan tercabut di bahagian atas yang dipercayai akibat hentakan benda tumpul.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa oleh doktor perubatan mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh sesak nafas akibat dicekik dan dipercayai mempunyai unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mayat mangsa, Norfazlina Abantas, 19, ditemukan mati dalam keadaan tersungkur di dalam sebuah bilik di spa berkenaan pada 9 Oktober kira-kira pukul 11:30 pagi dengan kecederaan yang dialami dipercayai akibat hentakan benda tumpul.

Chandra berkata motif pembunuhan itu disebabkan perasaan cemburu.

Kedua-dua suspek dipercayai positif dadah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. – Bernama