Polis bertarung dengan penunjuk perasaan di luar persidangan APEC

Polis bertarung dengan penunjuk perasaan di luar persidangan APEC

MANILA, 19 Nov (AFP) – Polis rusuhan melepaskan meriam air ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan di ibu negara Filipina hari ni dalam pertempuran yang berlaku berhampiran sidang mesyuarat para pemimpin Asia Pasifik yang juga dihadiri oleh Presiden AS Barack Obama.

Dengan menunjukkan buku lima, para pembantah melaungkan ‘Junk APEC’ merujuk kepada kumpulan 21 negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang pemimpinnya mengadakan pertemuan di Manila.

Polis yang membawa belantan kayu dan perisai melepaskan meriam air ke arah para pembantah apabila mereka cuba merempuh sekatan yang menyekat sesiapa sahaja sampai ke tempat sidang mesyuarat itu, kira-kira satu kilometer jauhnya.

Pertempuran berlaku ketika Presiden Filipina Benigno Aquino mengalu-alukan kedatangan Obama, Presiden China Xi Jinping dan para pemimpin lain bagi permulaan sidang mesyuarat hari kedua dan terakhir.

Huru-hara yang berlaku di luar persidangan APEC di Manila. – AFP
Huru-hara yang berlaku di luar persidangan APEC di Manila. – AFP

Para pembantah berkata mereka membantah agenda perdagangan bebas APEC kerana ia memihak perbadanan besar dan mengabaikan orang miskin.

“Aquino seharusnya melindungi rakyatnya, globalisasi telah mengakibatkan harga barangan kami turun. Kami tidak menerima pulangan modal,” salah seorang pembantah, iaitu petani padi berusia 47 tahun, Nida Floresca memberitahu AFP.

“Kami malah tidak mempunyai pengairan untuk menyiram tanaman kami. Aquino seharusnya memikirkan kami terlebih dahulu.” Floresca datang bersama beberapa jiran dari bandar perladangan mereka di La Union kira-kira 270 kilometer utara Manila. Mereka berbaris dengan memakai sandal dan topi jerami.

Salah anggota polis menganggarkan orang ramai pada bilangan kira-kira 2,000 orang meskipun tidak ada bilangan rasmi dinyatakan. Tidak ada laporan tentang penangkapan atau kecederaan.

ARTIKEL YANG SAMA