Polis bongkar taktik baru jual syabu di Lawas

Polis bongkar taktik baru jual syabu di Lawas

MIRI, 18 Ogos – Polis berjaya mengesan taktik terbaharu menjual dadah syabu di Lawas, Limbang, dengan menggunakan penyedut minuman serta pembalut gula-gula getah.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata syabu tersebut dipaket di dalam penyedut minuman untuk dijadikan tiub kecil dan disembunyikan di dalam pembalut gula-gula getah bagi mengelak daripada dikesan.

“Setiap satu syabu dijual berdasarkan saiz, kalau paket kecil antara RM50 hingga RM70 setiap satu, dan yang besar RM250 satu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abang Zainal berkata taktik tersebut berjaya dikesan polis berikutan tangkapan seorang suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun berasal dari Labuan di sebuah rumah di Taman Siew Lim Park, Jalan Punang, Lawas, pagi semalam.

“Hasil daripada serbuan itu, satu bekas pembalut gula-gula getah warna hijau jenama Wrigley’s Doublemint dengan di dalamnya mengandungi 18 tiub penyedut diisi syabu dijumpai di dalam beg sandang,” katanya. – Bernama