Polis Bosnia tangkap 11 berkaitan IS

Polis Bosnia tangkap 11 berkaitan IS

SARAJEVO, 22 Dis (Reuters) – Polis Bosnia hari ini mengatakan bahawa beberapa lokasi telah diserbu dan 11 orang telah ditangkap ketika mencari suspek yang dipercayai berkaitan dengan kumpulan Islamic State (IS).

Serbuan di seluruh kawasan Sarajevo itu menyasarkan sekitar 15 individu, menurut kenyataan dari pejabat ketua pendakwa Bosnia. “Sejauh ini 11 individu yang disyaki terlibat dalam pengganasan, membiayai kegiatan pengganas dan merekrut pejuang IS telah ditangkap dalam serbuan di 13 buah lokasi,” menurut jurucakap bagi direktorat polis Persetujuan Bosniak-Croat yang autonomi di Bosnia.

“Semasa serbuan itu, bukti telah ditemui menunjukkan kaitan dengan struktur ISIL,” menurut kenyataan dari pejabat pendakwa, yang menggunakan nama alternatif bagi IS.

Katanya serbuan itu dijalankan berhampiran berek tentera tempat lelaki bersenjata membunuh dua askar Bosnia pada November dalam penembakan melulu yang pihak berkuasa katakan serangan pengganas.

Sebuah stesen televisyen serantau melaporkan bahawa sekitar 100 pegawai polis mengambil bahagian dalam serbuan ini.

Polis mengatakan lagi bahawa lebih 150 rakyat Bosnia telah menyertai IS di Syria dan Iraq beberapa tahun kebelakangan, yang mana daripada jumlahnya itu, 50 telah kembali ke Bosnia dan hampir 30 terbunuh dalam peperangan.