Polis Britain dakwa lelaki disyaki lakukan keganasan

Polis Britain dakwa lelaki disyaki lakukan keganasan

LONDON, 7 Dis – Detektif Britain telah mendakwa seorang lelaki dengan percubaan membunuh selepas satu serangan pisau di stesen metro timur London pada malam Sabtu yang digambarkan oleh polis sebagai satu kejadian pengganas.

Polis berkata Muhaydin Mire, 29 tahun, dari timur London akan hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada lewat hari ini.

Seorang lelaki, 56, mengalami kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa dalam serangan yang berlaku di stesen kereta api bawah tanah Leytonstone, kira-kira enam batu dari timur London tengah, sementara orang kedua mengalami kecederaan ringan. Saksi berkata penyerang dilaporkan menjerit “Ini untuk Syria.”

Britain berada pada tahap amaran keselamatan kedua tertinggi, bermakna satu serangan militan dianggap kemungkinan besar akan berlaku, walaupun bukan dalam masa terdekat, terutamanya disebabkan ancaman yang ditimbulkan oleh militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq.

Pada minggu lalu, kapal terbang perang Britain menyertai serangan udara untuk kali pertama ke atas pejuang IS di Syria.

Beberapa penggubal undang-undang telah mengingatkan keputusan tersebut akan menjadikan Britain satu sasaran untuk serangan balas, namun Perdana Menteri David Cameron berkata IS telah pun merancang untuk menyasarkan Britain. Pihak berkuasa berkata anggota keselamatan Britain telah menumpas tujuh komplot keganasan sejak setahun lalu. – Reuters