Polis buru individu pijak gambar pemimpin

Polis buru individu pijak gambar pemimpin

PELABUHAN KLANG, 2 Sept (Bernama) – Polis sedang memburu individu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu-individu yang memijak gambar berkenaan segera salurkan kepada polis supaya kita dapat ambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.

Perlakuan memijak gambar pemimpin jelas bukan budaya rakyat Malaysia tetapi ia dilihat cuba dijadikan sebagai budaya oleh penganjur dan peserta demonstrasi itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Pasukan Polis Marin ke-68 di markas operasi pasukan itu di sini Rabu.

Beliau mengulas mengenai gambar beberapa individu memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Bersih 4 yang tersebar luas di laman sosial.

Sementara itu, golongan Netizen turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan peserta perhimpunan Bersih 4 tersebut dan melalui laman Facebook, rata-rata mereka mengutuk tindakan biadab itu dengan menyifatkannya sebagai tidak bermoral.

Pengguna Facebook, Kemboja Putih berkata tindakan memijak gambar perdana menteri dan presiden PAS itu dianggap biadab dan lari daripada tujuan asal perhimpunan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA