Polis buru kumpulan suspek letup dua ATM

Polis buru kumpulan suspek letup dua ATM

PUTATAN, 30 Jun (Bernama) – Polis telah mengenal pasti dan sedang memburu kumpulan suspek terlibat meletupkan dua mesin juruwang automatik (ATM) milik sebuah bank di sini dan melarikan sejumlah wang tunai pada 24 Jun lepas, kata Ketua Polis Daerah Penampang DSP Rosley Hobden.

“Polis daripada awal lagi berusaha mengesan kumpulan suspek terlibat. Polis telah mengenal pasti dan sedang memburu kumpulan suspek terbabit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Muih Aidilfitri di sini, hari ini.

Sumbangan untuk anggota keselamatan itu disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Rosley turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis membantu siasatan.

Pada 24 Jun lepas, lima penjenayah bertopeng dan dipercayai memiliki senjata tajam telah bertindak meletupkan dua mesin ATM milik sebuah bank di Putatan dan melarikan sejumlah wang dalam kejadian rompakan kira-kira 4:20 pagi.