Polis cari suspek bunuh imam

Polis cari suspek bunuh imam

NEW YORK, 14 Ogos – Polis di bandar New York dalam usaha memburu lelaki yang menembak mati seorang imam masjid dan rakan imam itu selepas mereka menunaikan solat.

Kejadian itu mengakibatkan ketakutan dan kesukaran dalam kalangan penghijrah Islam Bangladesh dalam komuniti berkenaan.

Meskipun polis mengatakan tidak ada motif dibuktikan bagi pembunuhan Imam Maulama Akonjee, 55 tahun dan Thara Uddin, 64 tahun tengah hari semalam berhampiran masjid Al-Furqan Jame, anggota masyarakat bimbang pembunuhan itu mungkin berpunca daripada sikap ketidaktoleransian.

“Dalam penyiasatan awal tidak ada yang menunjukkan mereka menjadi sasaran kerana kepercayaan mereka,” kata penolong Inspektor Henry Sautner dari Jabatan Polis New York.

Anak perempuan kepada imam itu, Naima Akonjee berkata ayahnya yang disifatkan oleh penduduk Islam sebagai seorang yang warak yang sering mendorong pembacaan Al-Quran, tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun.”

Seorang pegawai NYPD berada di tempat kejadian jenayah di Taman Ozone selepas ketua masjid, Maulama Akonjee dan rakannya Thara Uddin dibunuh di bandar New York pada 13 Ogos. – AFP
Seorang pegawai NYPD berada di tempat kejadian jenayah di Taman Ozone selepas ketua masjid, Maulama Akonjee dan rakannya Thara Uddin dibunuh di bandar New York pada 13 Ogos. – AFP

Menurutnya ayahnya dan Uddin adalah rakan karib yang sering berjalan bersama-sama ke masjid dari rumah mereka di kawasan yang sama.

Pihak polis berkata kedua-dua lelaki itu ditembak di bahagian kepala mereka apabila mereka keluar dari masjid di bahagian Taman Ozone, Queens, sejurus sebelum pukul 2 petang. Mereka kemudian disahkan meninggal dunia.

Sautner berkata video pengawasan menunjukkan mereka didatangi dari belakang oleh seorang lelaki yang memakai baju kemeja polo gelap dan berseluar pendek yang menembak mereka dan kemudian melarikan diri dengan senapang di tangannya. Tidak ada tangkapan dibuat awal hari ini.

Para anggota masyarakat Islam Bangladesh yang mendapat kemudahan dari pihak masjid itu berkata mereka mahu penembakan ini dianggap sebagai jenayah benci. Lebih 100 orang menghadiri malam perhimpunan semalam dan melaungkan ‘Kami mahukan keadilan!”

Majlis Perhubungan Islam-Amerika, sebuah kumpulan sokongan, telah mengadakan sidang media berhampiran tempat berlakunya penembakan, yang mana Kobir Chowdury, imam sebuah lagi masjid setempat berkata “Ini adalah jenayah benci yang ditujukan kepada Islam, “Kami cintakan keamanan.”

Sarah Sayeed, anggota kakitangan Datuk Bandar Bill de Blasio yang menjadi penghubung kepada masyarakat Islam, menghadiri perhimpunan itu “Saya memahami kebimbangan kerana saya merasainya,” katanya.

“Saya memahami kemarahan. Tetapi penyiasatan menyeluruh adalah sangat penting.” – AP