Polis cedera dalam Ops samseng

Polis cedera dalam Ops samseng

LABUAN, 19 Ogos – Seorang penunggang motosikal merempuh seorang anggota polis ketika cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Kinabenua di sini pada 17 Ogos.

Penganggur lelaki berumur 22 tahun itu kemudian ditahan, manakala anggota polis berkenaan patah tulang bahu dan buku lali dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bebuluh pada 3.30 petang itu.

Ketua polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata suspek tidak mempunyai lesen memandu dan cukai motosikal yang ditunggangnya sudah tamat tempoh.

“Anak muda semakin agresif sekarang dan kami tidak boleh biarkan ini berterusan sehingga ia menjadi tidak terkawal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Anggota polis terbabit dihantar ke Hospital Nukleus Labuan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Beberapa buah motosikal dirampas oleh pihak ketika menjalankan ‘Ops Samseng Jalanan’. – Bernama
Beberapa buah motosikal dirampas oleh pihak ketika menjalankan ‘Ops Samseng Jalanan’. – Bernama

Sementara itu, Polis Labuan dan Polis Kepayan melancarkan ‘Ops Samseng jalanan’ di empat titik panas di sepanjang Jalan Kinabenua, Jalan Tun Mustapha, Jalan Pohon Batu dan berhampiran Kompleks Sukan Labuan. Sekurang-kurangnya 27 motosikal dan sebuah kereta dirampas dalam operasi tiga hari itu yang bermula 15 Ogos.

“Kami akan bertindak tegas untuk mengesan samseng jalanan dan operasi seperti ini akan terus diadakan. Kami ada strategi untuk membasmi lumba haram dan samseng jalan raya,” katanya.

“Bagaimanapun, kami ingin meminta orang ramai supaya tidak menjadikan isu ini suatu bahan viral kerana ia masih terkawal, apa yang kami cuba jelaskan di sini ialah lumba haram atau samseng jalan raya belum berleluasa di Labuan,” katanya. – Bernama