Polis denda diri sendiri

Polis denda diri sendiri

OSLO, 25 Julai – Nampaknya tiada siapa mengatasi undang-undang di Norway selepas seorang anggota polis mendenda dirinya kerana gagal memakai jaket keselamatan.

Pegawai Arne Stavnes dirakamkan sedang mengemudikan bot polis di dalam laman akhbar Verdens Gang semasa membuat rondaan di sekitar Pulau Utoya, 38 kilometer dari Oslo.

Gambar tersebut mencetuskan beberapa komen lucu daripada para pembaca yang menyatakan ketua pasukan polis itu melanggar undang-undang kerana tidak memakai jaket keselamatan yang diwajibkan di Norway untuk kapal yang berukuran kurang daripada lapan meter panjang.

Anggota polis yang jujur itu membalas kritikan dengan menerbitkan gambar beliau sendiri mengeluarkan wang 500 kroner (AS$58) Norway sebagai bayaran denda.

Menurut satu kaji selidik pada tahun 2015, 80 peratus daripada penduduk Norway mempunyai keyakinan terhadap perkhidmatan polis di negara mereka. – AFP