Polis diseru ...

Polis diseru amanah pikul tanggungjawab

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Negara Brunei telahpun menikmati keamanan dan kemakmuran yang mana keamanan dan kemakmuran ini sentiasa terpelihara dan terjamin dengan penubuhan pasukan-pasukan keselamatan seperti pasukan tentera, pasukan polis dan sebagainya.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai kepentingan pasukan-pasukan ini, khususnya Pasukan Polis Diraja Brunei yang sudah pun ditubuhkan pada tahun 1921 dan kini memasuki usia perkhidmatan 96 tahun.

Menurut khatib, di sepanjang penubuhannya, Pasukan Polis Diraja Brunei telahpun melalui pelbagai perubahan, kejayaan dan kecemerlangan dalam menjaga kestabilan negara serta dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih berkualiti sejajar dengan perkembangan dan peredaran masa.

“Sesungguhnya kerjaya sebagai anggota polis adalah mulia di sisi agama dan sebagai anggota polis hendaklah memperkuatkan iman kerana hanya dengan iman yang kuat sahaja dapat memupuk dan membudayakan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan dalam kehidupan dan tugas-tugas harian seperti bersifat jujur, amanah dan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.”

Khatib menjelaskan lagi bahawa khidmat bantuan pasukan polis kepada masyarakat hendaklah diberikan dengan profesional, adil dan tidak pilih kasih serta tidak memperalatkan orang lain demi kepentingan sendiri.

Untuk itu, khatib mengingatkan anggota polis agar tidak menggunakan kuasa yang diberikan dengan sewenang-wenangnya seperti melakukan rasuah, penyelewengan, penipuan dan sebagainya.

“Perlu diingat, bahawa kuasa dan tanggungjawap adalah satu amanah yang tidak boleh disalahgunakan. Bekerjasamalah untuk menjaga dan menanai imej dan kredibiliti pasukan polis demi maruah negara, bangsa dan rakyat.”

Dengan adanya pasukan polis yang amanah dan sentiasa bekerja keras secara profesional menjaga keamanan negara, maka masyarakat tidak akan ada sebarang keraguan dalam mengharapkan bantuan daripada pasukan polis sebagai benteng utama keamanan dan kesejahteraan negara ini.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa tugas menjaga keamanan dan kemakmuran negara adalah tugas pasukan polis, akan tetapi janganlah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada pasukan polis sahaja. Bahkan orang ramai hendaklah memberikan kerjasama dan membantu pihak polis membanteras jenayah demi keamanan.

“Sesungguhnya agama Islam menggalakkan kita supaya hidup saling tolong-menolong dan bantu-membantu ke arah kebaikan kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan kasih-mengasihi di antara satu sama lain,” kata khatib.

Oleh itu setiap individu adalah bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran dan menyuruh berbuat kebaikan dalam kehidupan bermasayarakat mengikut kemampuan dan kuasa masing-masing, ujarnya.