Polis ditahan seludup haiwan liar

Polis ditahan seludup haiwan liar

MANILA, 31 Jan – Pihak berkuasa di lapangan terbang utama Filipina telah merampas 47 ekor haiwan atau burung jarang ditemui yang mana seorang anggota polis lapangan terbang dipercayai cuba untuk menyeludupnya ke Jepun, menurut pegawai hidupan liar kanan hari ini.

Hidupan liar itu termasuk 11 ekor kera hantu (tarsier), 11 ekor ular, 11 biawak, lapan biawak jenis kadal air (sailfin lizard), dan dua jenis burung hantu.

Haiwan berkenaan ditemui pada Khamis, dibungkus dalam kotak polistirena yang dilabel dengan tanaman akuatik, kata Theresa Mundita Lim, ketua biro biodiversiti negara.

“Kami menerima maklumat Januari lalu. Sejak itu kami memulakan pengawasan kami. Kami sudah memerhatikan suspek yang sering berulang alik ke lapangan terbang,” membawa barangan untuk penghantaran, ujarnya kepada AFP.

Suspek sebelumnya menggunakan kedudukannya di lapangan terbang itu untuk menghantar pengiriman yang disyaki haiwan bumiputera kepada seorang rakan di Jepun sebelum dia ditangkap, tambahnya. Dia telah ditangkap kerana mencabul undang-undang hidupan liar dan boleh berdepan empat tahun penjara, kata Lim.

Menurutnya lagi, selain burung-burung seperti burung kakak tua sebelumnya ditemui telah diseludup menerusi lapangan terbang itu, ia adalah pertama kali mereka menemui kera hantu, salah satu primat paling kecil di dunia, yang disembunyikan dalam pengiriman di lapangan terbang.

Kera hantu Filipina itu disenaraikan oleh Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Antarabangsa sebagai ‘hampir terancam’.

Spesies lain seperti kadal air dan burung hantu disenaraikan sebagai ‘terdedah’, bermaksud haiwan itu berisiko pupus. Ia adalah skandal terkini yang menjejaskan kakitangan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila.

Tahun lepas dakwaan telah difailkan ke atas enam pegawai polis lapangan terbang kerana dipercayai menyumbat peluru dalam bagasi, kemudian menuntut bayaran peras ugut daripada mangsa untuk mengelak daripada ditangkap. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA