Polis geledah ibu pejabat UEFA

Polis geledah ibu pejabat UEFA

NYON, Switzerland, 7 April (AFP) – Polis Switzerland menggeledah ibu pejabat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebagai sebahagian dakwaan ‘jenayah salah laku pengurusan’ berkenaan perjanjian hak penyiaran televisyen yang ditandatangani Gianni Infantino sebelum menjadi presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perjanjian itu yang dilakukan ketika Infantino memegang jawatan ketua perundangan UEFA, didedahkan dalam Panama Papers. Pegawai di Pejabat Pendakwa Raya Switzerland (OAG) bagaimanapun ada memberi gambaran yang penyiasatan dilakukan sebelum maklumat itu dibocorkan.

Laporan Panama Papers itu menyebabkan kejutan kedua apabila Juan Pedro Damiani dari Uruguay meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Etika FIFA selepas dia turut dinamakan dalam laporan yang bocor itu.

UEFA memberikan hak penyiaran kepada dua usahawan Argentina yang turut didakwa di atas tuduhan skandal rasuah di Amerika Syarikat. Infantino bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya melakukan sebarang kesalahan.

“Pencarian itu dilakukan dengan mensyaki jenayah pengurusan” dan ‘tindakan yang tidak betul’ kata OAG dalam satu kenyataan selepas serbuan semalam.

UEFA mengesahkan yang mereka ‘menerima kunjungan itu’ oleh Polis Persekutuan Switzerland yang hadir dengan waran geledah.

UEFA berkata polis meminta untuk melihat kontrak antara UEFA dan Cross Trading (dan) Teleamazonas”, dua syarikat yang dikatakan terbabit dalam pembelian hak penyiaran di Ecuador bagi Liga Juara-Juara 2006 hingga 2009.