Polis Greece tahan pesawat bawa tujuh penghijrah

Polis Greece tahan pesawat bawa tujuh penghijrah

ATHENS, 18 Mac (AFP) – Enam anggota rangkaian penyeludupan ditahan di Greece ketika mereka bersedia untuk membawa tujuh penghijrah Iraq ke Itali dalam pesawat udara kecil, kata polis semalam.

Geng empat warga Greece dan dua warga Iraq ditahan di Messolonghi, barat Greece, pada Rabu ketika sebuah kapal terbang kecil Piper membawa penghijrah, termasuk empat kanak-kanak, bersedia untuk berlepas.

Penghijrah telah dibawa dari Athens oleh dua penyeludup Iraq.

“Satu rangkaian penjenayah ditumpaskan kerana membawa penghijrah dari Greece ke negara di barat Eropah dengan pesawat udara kecil,” kata polis dalam kenyataan.

Rangkaian itu berjaya menghantar 12 kumpulan penghijrah ke Itali, kata polis, menambah setiap penumpang membayar penyeludup di antara 4,500 hingga 7,500 euro.

Anak penghijrah dihantar ke pusat kebajikan juvenil, kata polis. Masih tidak jelas apa yang berlaku kepada orang dewasa.

Polis juga merampas pesawat udara Piper, wang tunai 34,430 euro, dua buah kereta, 700 gram kanabis dan kartrij senapang patah ketika serbuan.

Polis mengenal pasti ketua geng berkenaan sebagai salah seorang warga Iraq yang ditahan, dan berkata mereka sedang meneruskan siasatan lanjut untuk mencari rakan subahat lain.

ARTIKEL YANG SAMA