Polis HK lepas tembakan, 3 cedera

Polis HK lepas tembakan, 3 cedera

HONG KONG, 2 Okt – Tiga orang tercedera hari ini selepas polis Hong Kong melepaskan tembakan untuk menghentikan serangan bersenjata pisau ke atas seorang lelaki, dalam kes ganas jenayah jalanan di salah sebuah bandar paling selamat di Asia.

Menurut polis mereka yang tercedera adalah dua orang penyerang dan lelaki yang diserang, dan ketiga-tiga mereka berasal dari ‘Asia Selatan’.

“Lima hingga enam orang lelaki, bersenjatakan pisau, menyerang seorang lelaki,” pegawai polis Ma Wai-hing memberitahu para pemberita di tempat kejadian di daerah komersial bandar, Yau Ma Tei.

Tidak ada butiran lanjut diberikan tentang serangan itu.

“Selepas amaran lisan tidak diendahkan, empat tembakan dilepaskan. Dua lelaki telah ditembak,” katanya lagi. Kedua-duanya diberkas dan telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan pada lengan bawah dan pinggang. Mereka, bersama-sama mangsa serangan pisau dalam keadaan stabil, menurut Ma.

Pegawai polis forensik (tengah) mengambil sampel DNA dari tempat kejadian polis melepaskan tembakan ke arah sekumpulan lelaki yang berkelahi di Daerah Yau Ma Tei, di Hong Kong. – AFP
Pegawai polis forensik (tengah) mengambil sampel DNA dari tempat kejadian polis melepaskan tembakan ke arah sekumpulan lelaki yang berkelahi di Daerah Yau Ma Tei, di Hong Kong. – AFP

Filem yang dimuat naik ke laman sesawang surat khabar berbahasa Cina, Apple Daily menunjukkan seorang pegawai beruniform mengacukan senapang ke arah sekumpulan lelaki – beberapa daripada mereka yang bersenjatakan pisau yang diacukan ke arah seorang lelaki – sebelum tembakan dilepaskan. Pegawai itu dapat didengari berteriak ‘letakkan senjata kamu’, dalam bahasa Kantonis.

Polis berkata empat tembakan dilepaskan kerana tembakan pertama ‘tidak berkesan’ menghentikan serangan itu. Seorang pemberita AFP yang berada di tempat kejadian berkata satu persimpangan jalan raya telah dikepung sekitar tengah hari, dengan para detektif mengumpul bukti dan dua bilah pisau jenis pisau dapur yang terletak di atas tanah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA