Polis Hong Kong berkas suspek penculik wanita

Polis Hong Kong berkas suspek penculik wanita

HONG KONG, 4 Mei (AFP) – Polis Hong Kong hari ini memberkas salah seorang dari enam tersangka yang melarikan diri bersama-sama wang tebusan bernilai berjuta-juta selepas satu penculikan, menurut pesuruhjaya polis baru bandar itu, Stephen Lo.

Pihak berkuasa bandar itu telah melancarkan operasi memburu besar-besaran enam penculik yang disyaki, selepas pembebasan seorang wanita Selasa lalu setelah wang tebusan berjumlah HK$28 juta dibayar oleh keluarga wanita itu.

Penangkapan dibuat ketika usaha mencari terkini oleh pihak polis pagi ini.

“Kami telah menangkap salah seorang tersangka di Lo Wu pagi ini, yang berkaitan kes culik ini.” Lo yang menggantikan Andy Tsang Wai-hung sebagai ketua polis bandar itu, memberitahu para pemberita.

Lo Wu adalah salah satu tempat pemeriksaan sempadan darat Hong Kong yang menghubungkan bandar itu dengan China. Lo berkata pencarian bagi tersangka lain telah diperluaskan ke tanah besar.

“Pada masa ini, kami masih melakukan segala-galanya yang kami mampu untuk memburu penjenayah-penjenayah lain. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tanah besar untuk mencari mereka yang dikehendaki itu,” kata Lo tanpa memberikan butiran lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA