Polis India menahan lagi pelajar kes hasutan

Polis India menahan lagi pelajar kes hasutan

NEW DELHI, 24 Feb (AFP) – Polis India hari ini berkata mereka telah memberkas dua orang pelajar yang dikehendaki dalam kes hasutan yang telah mencetuskan bantahan besar selepas kedua-dua mereka itu menyerah diri setelah hampir dua minggu diburu.

Umar Khalid dan Anirban Bhatacharya menyerah diri kepada polis pada waktu tengah malam semalam selepas mahkamah enggan memberikan mereka perlindungan dari ditangkap berhubung perhimpunan di universiti mereka yang mana sebuah kumpulan disyaki melaungkan slogan anti India.

Ketua kesatuan pelajar Kanhaiya Kumar diberkas awal bulan ini berhubung perhimpunan itu, dalam kes yang mengakibatkan ribuan pelajar dan guru keluar ke jalan raya untuk membantah apa yang menurut mereka tindakan rasmi ke atas para penentang.

Mereka menuduh kerajaan nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi menyalahgunakan undang-undang hasutan era Britain, yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup. Jurucakap polis Delhi Rajan Bhagat berjanji akan melindungi Khalid dan Bhattacharya selepas Kumar diserang oleh para pegawai sayap kanan apabila dia muncul di mahkamah bagi perbicaraan awal minggu lalu dalam serangan yang telah diaturkan.

Umar Khalid (tengah) dan Anirban Bhattacharya (kiri) berjalan melalui kampus New Delhi, Universiti Jawaharlal Nehru dalam perjalanan mereka menyerah diri kepada pihak berkuasa India. – AFP
Umar Khalid (tengah) dan Anirban Bhattacharya (kiri) berjalan melalui kampus New Delhi, Universiti Jawaharlal Nehru dalam perjalanan mereka menyerah diri kepada pihak berkuasa India. – AFP

Peguam Khalid, Kamini Jaiswal memberitahu AFP kedua-dua lelaki itu memutuskan untuk bekerjasama dengan pihak polis, yang telah mengeluarkan makluman bahawa mereka dikehendaki polis pada ketika penangkapan Kumar pada 12 Februari dan memaklumkan lapangan terbang-lapangan terbang supaya menahan mereka dari pergi ke luar negara.

Mereka dituduh terlibat dalam perhimpunan yang diadakan di universiti berprestij, Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) di New Delhi untuk memperingati pelaksanaan hukuman mati ke atas Afzal Guru, seorang pemisah Kashmir. Kedua-dua pelajar itu berkata mereka telah bersembunyi kerana bimbang akan keselamatan mereka ekoran serangan ke atas Kumar, tetapi bersedia untuk berdepan pengadilan.

Tiga orang lagi pelajar JNU yang berdepan dakwaan sama tetapi tidak dimasukkan dalam senarai orang yang dikehendaki masih berada di kampus, tempat mereka dilindungi dari penangkapan kerana pihak polis tidak dibenarkan masuk tanpa kebenaran dari pihak berkuasa Universiti. Seorang ketua pelajar yang tidak mahu didedahkan identitinya berkata ketiga-tiga mereka itu berhubung dengan pihak polis dan bersedia untuk bekerjasama dalam penyiasatan.

Kes itu telah mencetuskan kemarahan di setiap takat spektrum politik.

ARTIKEL YANG SAMA