Polis India sukar membendung kemarahan Kashmir

Polis India sukar membendung kemarahan Kashmir

SRINAGAR, India, 11 Julai – Pihak berkuasa India bergelut hari ini untuk membendung bantahan oleh penduduk Kashmir selepas 20 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan hujung minggu, tatkala belia tidak menghiraukan satu perintah berkurung untuk mengadakan rapat di jalan raya menentang pembunuhan seorang pemimpin pemberontak anti-India.

Tentera separa dan polis dalam kelengkapan rusuhan meronda kampung dan bandar di rantau Himalaya itu. Kebanyakan kedai ditutup, perniagaan ditutup dan perkhidmatan telefon bimbit digantung. Namun pada tengah hari hari ini, orang ramai tidak menghiraukan kawalan ketat untuk berkumpul di kawasan bandar utama Srinagar dan bandar lain.

Rantau itu meletus dalam bantahan pada Sabtu, sehari selepas tentera India membunuh Burhan Wani, pemimpin muda kumpulan pemberontak terbesar Kashmir, Hizbul Mujahideen, yang telah bertempur sejak 1990 menentang pemerintahan India. Wani, dalam umur 20an, telah menjadi wajah ikon kegiatan militan Kashmir, menggunakan media sosial untuk mendapatkan penyokong dan berhubung dengan belia lain sepertinya yang telah membesar di tengah beratus ribu angkatan bersenjata India yang dihantar ke rantau tersebut.

Ketua Polis Inspektor Syed Javaid Mujtaba Gillani menggambarkan pembunuhan Wani sebagai “kejayaan terbesar ke atas militan” dalam beberapa tahun ini.

Seorang wanita Kashmir berjalan melintasi polis rusuhan India yang mengawal bantahan itu. - AFP
Seorang wanita Kashmir berjalan melintasi polis rusuhan India yang mengawal bantahan itu. – AFP

Tatkala berita kematiannya tersebar, belia yang marah berkumpul untuk melontar batu pada polis dan tentera separa India dan melaung “Pergi India, pulang!” Polis berkata beberapa pos kawalan polis dan tentera separa diserang, dan beberapa rumah ahli politik pro-India dibakar.

Sekurang-kurangnya 19 orang awam dan seorang polis terbunuh dalam pertempuran pada Sabtu dan Ahad, tatkala pegawai penguat kuasa undang-undang menggunakan peluru hidup, senapang dan gas pemedih mata untuk meleraikan bantahan.

Kebanyakan mereka yang terbunuh adalah lelaki muda di bawah 26 tahun dari selatan Kashmir, kata polis. Di samping itu, lebih daripada 150 orang awam dan 90 tentera kerajaan telah cedera. Sekurang-kurangnya 10 orang awam yang cedera berada dalam keadaan serius.

Sentimen anti-India adalah mendalam di seluruh rantau yang mempunyai 12 juta orang, kira-kira 70 peratus di antara mereka beragama Islam. Ramai benci penghantaran beratus ribu tentera India, dan menyuarakan sokongan terhadap pemberontak yang telah bertempur sejak 1990 untuk menuntut kemerdekaan atau gabungan dengan negara jiran Pakistan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA