Polis India tangkap dua remaja perkosa budak kecil

Polis India tangkap dua remaja perkosa budak kecil

NEW DELHI, 18 Okt – Polis India hari ini mengatakan mereka telah menangkap dua remaja berhubung insiden seorang budak kecil diperkosa, serangan seksual terbaru ke atas kanak-kanak di bandar itu yang mencetuskan kemarahan orang awam.

Sepasukan anggota polis kira-kira 20 orang telah menyoal siasat lebih 250 suspek sebelum menangkap juvenil berhubung serangan ke atas budak perempuan berusia dua tahun, yang ditemui berdarah di sebuah taman berhampiran kediaman New Delhi pada malam Jumaat.

“Polis Delhi telah menyelesaikan jenayah itu dengan menangkap dua juvenil dalam kes rogol seorang budak kecil,” kata pesuruhjaya polis Delhi, Dependra Pathak memberitahu wartawan.

“Siasatan selanjutnya telah diteruskan. Semua bukti berkaitan telah dikumpulkan,” kata Pathak, menambah bahawa dua remaja berusia 17 tahun pada lewat Sabtu akan berdepan tuduhan awal dalam masa 10 hari.

Kedua-dua lelaki berkenaan tinggal di kejiranan miskin yang sama dengan budak kecil itu dan salah seorang daripadanya rapat dengan keluarga tersebut, kata Pathak.

Serangan ke atas kanak-kanak, yang sudah berpulih di hospital itu, merupakan yang kedua dalam masa 24 jam selepas kanak-kanak lima tahun diperkosa beramai-ramai di rumah jiran di timur Delhi.

Tiga lelaki telah ditangkap berhubung serangan itu yang juga berlaku pada malam Jumaat, dengan kedua-dua insiden mencetuskan bantahan dan kemarahan baru berhubung keganasan seksual di bandar itu.

Serangan ke atas budak perempuan muncul seminggu selepas kanak-kanak empat tahun diperkosa, dikelar menggunakan pisau dan dibuang di trek landasan kereta api di Delhi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA