Polis India tumpaskan ‘sel Al-Qaeda’

Polis India tumpaskan ‘sel Al-Qaeda’

NEW DELHI, 18 Dis (AFP) – Polis New Delhi menumpaskan sel Al-Qaeda dan memberkas pengasasnya bagi sayap India, menurut pegawai-pegawai.

Polis berkata mereka memberkas “pelampau radikal” Mohammed Asif, 41, yang dikatakan mengetuai sayap merekrut dan latihan kumpulan berkenaan di India serta merupakan anggota pengasas Al-Qaeda di sub-benua itu.

“Kami sudah lama melakukan pemantauan dan pengawasan dalam usaha membanteras ancaman yang berbahaya ini pada jangka panjang,” kata polis dalam satu kenyataan.

“Perangkap dipasang dan dalam operasi yang dilakukan secara profesional, suspek Mohd. Asif berjaya kami berkas” ketika dia mahu menemui seseorang di sebuah jejantas di New Delhi, kata kenyataan itu.

Dua yang lain turut diberkas dalam kes berkenaan, seorang kerana cuba mempengaruhi para pelajar di sebuah madrasah di negeri Uttar Pradesh dan seorang lagi kerana membiayai aktiviti kumpulan tersebut,” lapor Press Trust of India (PTI).

Kesemua mereka kini dikenakan tahanan reman, menurut polis dan PTI. Pada September 2014 Al-Qaeda mengumumkan ia menubuhkan cawangan baru di sub-benua India dalam usaha menyebarluaskan aktiviti pergerakan Islam berkenaan.

India meletakkan beberapa buah negeri dalam keadaan siap siaga selepas kumpulan itu menubuhkan cawangan baru untuk “melancarkan jihad” di Asia Selatan.

Bos Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri berkata pada ketika itu operasi baru akan dilaksanakan di Myanmar, Bangladesh dan India, yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam.

ARTIKEL YANG SAMA