Polis iringi suspek pemenggalan ke rumahnya

Polis iringi suspek pemenggalan ke rumahnya

SAINT-PRIEST, Perancis, 29 Jun (Agensi) – Para penyiasat polis memakai topeng mengiringi seorang lelaki yang dituduh memancung kepala, ke rumahnya di tenggara Perancis semalam, dalam mencari kemungkinan kaitan antarabangsa kepada pembunuhan, selepas dia menghantar gambar mangsa kepada orang hubungannya di Syria, menurut seorang pegawai keselamatan.

Yassine Salhi, 35 tahun, tangannya digari dan memakai seluar jeans, jubah panjang hingga ke lutut dan mengenakan tuala di kepalanya apabila polis membawanya ke kediamannya di bandar Saint-Priest, berhampiran bandar Lyon.

Pegawai itu memberitahu Associated Press bahawa pihak polis sedang mencari pasport Salhi untuk memastikan jika dia pernah pergi ke luar negara sebelum serangan Jumaat lalu yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai serangan ganas pertama yang membawa maut di Perancis sejak pembunuhan di kawasan Paris pada bulan Januari lalu. Salhi, seorang pemandu lori penghantar dan ayah kepada tiga orang anak, yang mempunyai sejarah hubungan dengan pengganas Islam, sebelumnya mengakui membunuh pengurus syarikat pengangkutan yang menggaji Salhi sejak Mac, menurut para pegawai.

Pegawai itu juga berkata Salhi telah menghantar gambar ‘selfie’ dirinya sendiri dan mangsa kepada seorang lelaki yang dikenali pasti hanya sebagai Younes, yang dikatakan berada di Syria sejak tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA