Polis Istanbul bunuh 2 penyerang wanita

Polis Istanbul bunuh 2 penyerang wanita

ISTANBUL, 3 Mac (AFP) – Anggota polis Turki hari ini membunuh dua penyerang wanita yang melontarkan bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah balai polis Istanbul sebelum berselindung dalam bangunan berhampiran, menurut laporan media Turki.

Kedua-dua wanita berkenaan yang identitinya dan asal gabungan mereka tidak jelas – telah bersembunyi dalam apartmen di sebuah kawasan kejiranan Bayrampasa selepas serangan mereka itu.

Polis kemudian melancarkan serangan ke atas apartmen, ‘menumpaskan’ kedua-duanya, kata agensi berita rasmi Anatolia memetik sumber daripada polis. Tidak ada laporan mengenai korban jiwa yang lain.

Menurut agensi berita Dogan, kedua-dua wanita berkenaan telah melontarkan bom tangan kemudian melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat polis rusuhan. Para pegawai membalas tembakan, mencederakan seorang penyerang sebelum mereka lari ke bangunan berhampiran.

Turki dalam keadaan berjaga-jaga selama berbulan-bulan sejak siri serangan maut ke atas tanahnya.

Bulan lalu, seramai 29 orang terbunuh dalam pengeboman kereta yang menyasarkan konvoi tentera di Ankara, yang didakwa dilakukan oleh Kurdistan Freedeom Falcons (TAK), yang berkaitan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK).