Polis jejaki 5 lagi individu

Polis jejaki 5 lagi individu

KOTA KINABALU, 11 Jun (Bernama) – Pihak polis sedang menjejaki lima lagi pelancong asing yang disyaki berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah mendapatkan maklumat lanjut mengenai mereka daripada empat suspek yang direman semalam.

“Daripada gambar yang diterima, ada 10 individu tetapi hanya nama lima orang yang dikenal pasti dan yang lain-lain kita akan cuba dapatkan daripada suspek yang ditahan,” katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontingen Sabah di sini hari ini.

Jalaluddin berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen akan berusaha mengenal pasti identiti pelancong berkenaan, namun sehingga kini belum ada maklumat diterima.

Beliau berkata pihaknya sukar mengenal pasti identiti pelancong itu kerana mereka tidak meletakkan nama sebenar dan negara asal dalam buku daftar pendaki.

Semalam empat warga asing termasuk dua wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurut Jalaluddin, mereka merupakan pasangan adik-beradik warga Kanada dan seorang lelaki warga Belanda yang menyerah diri di Balai Polis Karamunsing pada Selasa.

Seorang lagi suspek merupakan wanita warga British yang ditahan di Lapangan Terbang Tawau pada Selasa ketika hendak berlepas ke Kuala Lumpur.