Polis Jepun tahan suspek kejadian tembak

Polis Jepun tahan suspek kejadian tembak

TOKYO, 31 Ogos – Seorang lelaki Jepun yang memiliki senjata api dituduh menembak mati seorang pekerja pembinaan dan mencederakan tiga yang lain sebelum melarikan diri, telah berjaya ditahan hari ini selepas terlibat dalam pertikaian tegang dengan polis.

Yasuhide Mizobata melarikan diri ke arah sebuah bangunan apartmen pada petang Selasa selepas berulang kali menembak ke arah para pegawai yang hendak menangkapnya, menurut seorang jurucakap pasukan.

Kira-kira 17 jam selepas itu, suspek telah menembak dirinya di perut, lapor NHK tanpa memberi butiran lanjut mengenai keadaannya. Jiji Press juga melaporkan insiden mencederakan diri itu. Rakaman NHK menunjukkan polis menyerbu bangunan itu selepas mendengar tembakan senjata dengan ambulans jelasnya membawa suspek.

Sebelumnya, dia telah menghabiskan malamnya dengan berkurung di bangunan itu, dikelilingi oleh pasukan bersenjata berat yang cuba memujuknya untuk menyerah diri.

Ambulans tiba untuk membawa suspek yang menembak dirinya di perut selepas terlibat dalam pertikaian dengan polis di Wakayama, barat Jepun pada 31 Ogos. – AFP
Ambulans tiba untuk membawa suspek yang menembak dirinya di perut selepas terlibat dalam pertikaian dengan polis di Wakayama, barat Jepun pada 31 Ogos. – AFP

Rakaman televisyen menunjukkan Mizobata, memakai baju dan seluar hitam serta berkasut putih, mengacu-acukan dua pistol ketika dia berdiri di atas aram-aram. Laporan media berkata suspek telah mengancam untuk menembak polis dan ke atas dirinya semasa ketegangan semalaman di Wakayama, 450km barat daya Tokyo.

Penyiaran itu berkata bangunan itu telah dikosongkan ketika insiden itu bermula dan dipercayai tiada tebusan telah ditawan. Pemburuan besar-besaran bermula pada Isnin selepas Mizobata dipercayai membunuh Junsuke Ishiyama berusia 45 tahun dan mencederakan tiga yang lain ketika dia melepaskan tembakan semasa satu mesyuarat di pejabat sebuah syarikat pembinaan.

Mizobata dilaporkan anak lelaki kepada pemilik syarikat itu. Dia telah dijadualkan untuk dipenjarakan pada Isnin selepas disabit bersalah berkaitan tuduhan dadah, kata akhbar harian Sankei Shimbun. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA