Polis Jerman tangkap suspek pengganas

Polis Jerman tangkap suspek pengganas

LEIPZIG, Jerman, 10 Okt – Polis Jerman hari ini telah menangkap seorang lelaki Syria yang disyaki merancang serangan bom jihad selepas diburu selama dua hari, dalam satu kes yang mencetuskan gesaan baru bagi pemeriksaan besar-besaran ke atas pencari perlindungan.

Pihak berkuasa memperketat langkah keselamatan di lapangan terbang dan stesen kereta api selepas Jaber Albakr, 22, melepaskan diri daripada jaringan polis pada Sabtu apabila mereka cuba menyerbu apartmennya dan menemui beberapa ratus gram ‘bahan letupan yang lebih bahaya daripada TNT’.

Polis akhirnya berjaya memberkas lelaki tersebut dengan bantuan daripada beberapa warga Syria lain, yang Albakr hubungi di stesen kereta api di bandar timur Leipzig, untuk mencari perlindungan, menurut Spiegel Online.

Lelaki-lelaki Syria itu membenarkan Albakr untuk tinggal di apartmen mereka namun apabila polis tiba, mereka menemui suspek sudah pun diikat.

Konvoi kenderaan meninggalkan Mahkamah Daerah di Dresden, timur Jerman pada 10 Oktober. Lelaki Syria yang disyaki merancang serangan bom, yang telah ditangkap selepas berjaya diburu, telah dihadapkan ke mahkamah di Dresden. – AFP
Konvoi kenderaan meninggalkan Mahkamah Daerah di Dresden, timur Jerman pada 10 Oktober. Lelaki Syria yang disyaki merancang serangan bom, yang telah ditangkap selepas berjaya diburu, telah dihadapkan ke mahkamah di Dresden. – AFP

“Kami berjaya, sangat gembira,” tweet polis awal hari ini. “Suspek pengganas Albakr telah ditangkap semalam di Leipzig.”

Albakr dipercayai telah membuat perhubungan Online bersama kumpulan Islamic State (IS), lapor akhbar harian Sueddeutsche Zeitung.

Menurut sumber keselamatan yang dipetik oleh Sueddeutsche, dia telah menubuhkan ‘makmal pembuatan bom maya’ di flatnya di blok perumahan era-komunis dan dirasakan telah merancang satu serangan sama ada ke atas dua lapangan terbang Berlin atau hab pengangkutan di negerinya, Saxony. – AFP