Polis Labuan dapat tiga lagi kereta peronda

Polis Labuan dapat tiga lagi kereta peronda

LABUAN, 11 Dis (Bernama) – Ibu pejabat polis kontinjen Labuan hari ini menerima tiga kereta peronda baharu untuk tugas mengiring dan mencegah jenayah.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata kereta berkenaan (Proton Inspira) adalah sebahagian daripada 400 unit yang diperuntukkan kepada kontinjen polis di seluruh negara.

“Kenderaan tambahan ini akan banyak membantu polis dalam mempercepatkan tempoh respons bagi sesuatu kes kecemasan,” katanya kepada Bernama selepas upacara penyerahan kunci kereta itu kepada Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Labuan di sini hari ini.

Adzhar berkata objektif mendapatkan kereta peronda baharu itu adalah untuk meningkatkan keberkesanan dalam pencegahan jenayah dan memberi bantuan kepada orang ramai ketika kecemasan.

Beliau menggesa semua anggota MPV menggunakan sepenuhnya kenderaan itu untuk memelihara nama baik pasukan dengan memberi perkhidmatan pantas dan berkualiti.