Polis Labuan tahan 27 GRO Filipina

Polis Labuan tahan 27 GRO Filipina

LABUAN, 23 Okt (Bernama) – Seramai 27 perempuan warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan oleh polis Labuan dalam serbuan di sini, malam tadi.

Warga Filipina yang berumur antara 18 hingga 25 tahun itu ditahan dalam Op Noda yang dijalankan ke atas sebuah kelab malam di pusat bandar pada pukul 11.05 malam.

Ketua polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun, dipercayai penjaga kelab itu turut direman bagi membantu siasatan di Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing tanpa permit.

“Seramai 27 perempuan Filipina terbabit ditahan polis Labuan semasa serbuan ke pusat hiburan itu malam tadi dan semua mereka ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan permit lawatan sosial dan bekerja sebagai GRO,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Adzhar berkata tujuh perempuan terbabit telah dihantar ke ibu pejabat polis Kota Kinabalu hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 kerana disyaki wujud elemen penyeludupan manusia.

“Labuan merupakan satu-satunya negeri yang memberikan permit kerja kepada GRO, jadi mengapa mereka enggan memohon permit,” katanya.

Beliau berkata operasi akan diteruskan bagi memburu pekerja haram dan menasihati pemilik pusat-pusat hiburan tidak menggaji pelayan pelanggan asing tanpa permit.