Polis lancar serangan ke atas militan

Polis lancar serangan ke atas militan

DHAKA, 7 Jun – Polis Bangladesh hari ini melancarkan tindakan yang membawa maut ke atas militan pejuang Islam apabila seorang paderi Hindu berusia 70 tahun menjadi mangsa terbaru dalam siri-siri pembunuhan menggerunkan oleh pejuang-pejuang jihad yang disyaki.

Ketika seorang menteri kerajaan cuba menggambarkan serangan terbaru sebagai sebahagian konspirasi yang melibatkan agensi pengintip Mossad, Israel, pasukan keselamatan melancarkan pertempuran bersenjata ke atas anggota-anggota sebuah kumpulan jihad yang ditubuhkan di negara itu sendiri.

Dua anggota ‘berpangkat tinggi’ dari kumpulan Jamayetul Mujahideen Bangladesh (JMB) telah ditembak mati dalam sebuah pertempuran di Dhaka dan seorang lagi terbunuh di daerah barat laut, polis memberitahu AFP. Kedua-dua anggota JMB itu yang terbunuh di ibu negara itu berperanan ‘dalam kebanyakan serangan baru-baru ini’ termasuklah pengeboman ke atas sebuah masjid dan pembunuhan seorang profesor liberal, menurut timbalan pesuruhjaya polis M R Khaled.

Mangsa ketiga terbunuh dalam satu lagi pertempuran bersenjata di bandar Godagari di daerah barat laut, menurut ketua polis Abu Forhad.

Pihak berkuasa Bangladesh semakin menerima tekanan antarabangsa supaya menamatkan siri-siri serangan ke atas minoriti keagamaan dan aktivis sekular yang mengorbankan lebih 40 orang dalam tempoh tiga tahun lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA