Polis Marin rampas 160 kayu balak

KUCHING, 11 Jan – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak merampas 160 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz bernilai RM55,000 di Kampung Banyok di Batang Rajang, Sibu pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Lima ACP Salehuddin Mat Zaman berkata rampasan dilakukan sepasukan empat anggota PPM Wilayah Lima pada 10:15 pagi susulan maklumat awam.

Dalam serbuan di tepi Sungai Banyok itu, anggota PPM menemukan dua longgok pelbagai jenis dan saiz kayu balak yang diikat menjadi rakit, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pemeriksaan lanjut mendapati semua kayu terbabit tidak mempunyai cap pengesahan Jabatan Hutan Sarawak dan disyaki diperoleh secara haram.

Tiada penahanan dilakukan dalam serbuan itu, katanya.

“Semua kayu balak yang dirampas telah diserah kepada Jabatan Hutan Sarawak Wilayah Sibu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat menurut Seksyen 90 Ordinan Perhutanan Sarawak 2015,” katanya. – Bernama