Polis Marin rampas 1,741 kayu bergergaji

Polis Marin rampas 1,741 kayu bergergaji

KUCHING, 21 Mac (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima merampas 1,741 keping kayu bergergaji dan empat buah lori bernilai kira-kira RM500,000 di Pangkalan Feri Sungai Buloh dekat Sadong Jaya kira-kira 90 kilometer dari Kuching hari ini.

Komander PPM Wilayah Lima ACP N. Kalai Chelvan berkata selain kayu bergergaji dan lori, Op Landai yang diketuai ASP Wan Sazaly Jaafar disertai enam anggota itu turut menahan enam lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 32 tahun kira-kira 8.10 pagi.

Beliau berkata bertindak hasil maklumat risikan, anggota PPM membuat serbuan di lokasi tersebut dan menahan empat lori serta enam rakyat tempatan yang sedang membawa muatan kayu bergergaji pelbagai saiz dan jenis yang disyaki diperoleh secara salah di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

“Ketika serbuan dan pemeriksaan dibuat, semua pemandu dan kelindan lori gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit pemilikan hasil hutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kalai Chelvan berkata enam rakyat tempatan, kayu bergergaji dan lori yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kuching untuk siasatan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Ordinan Perhutanan Negeri Sarawak 2015. Satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Asajaya,” katanya.