Polis Marin rampas 80,000 liter diesel

Polis Marin rampas 80,000 liter diesel

KUCHING, 30 Julai (Bernama) – Polis Marin merampas 80,000 liter minyak diesel dari empat tangki di sebuah premis simpanan di Jalan Utama Pending Industrial Estate, di sini, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Lima Sarawak ACP N.Kalai Chelvan berkata dua pegawai dan tiga anggota dari Unit Risikan Marin membuat pemeriksaan di premis berkenaan pada kira-kira 4.30 petang hasil maklumat awam dan risikan.

Semasa pemeriksaan, seorang lelaki yang mengaku sebagai penjaga premis itu mengemukakan dokumen kebenaran penyimpanan minyak berkenaan, namun ia didapati sudah tamat tempoh, katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya lelaki berkenaan ditahan manakala tiga lori bersama empat tangki minyak yang dirampas diserahkan kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan di sini untuk tindakan lanjut.

“Diesel dan lori berkenaan bernilai RM554,000,” katanya.