Polis Marin rampas minuman keras

Polis Marin rampas minuman keras

TAWAU, 2 Julai (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 650 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM127,120 yang dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah ACP Mohamad Madun berkata rampasan itu dilakukan tujuh kilometer dari bulatan Kalabakan, dekat sini, kira-kira 4.30 pagi.

“Pasukan peronda menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki tempatan berusia 22 dan 26 tahun, yang sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, setelah melakukan pemeriksaan terhadap lori berkenaan, polis menemui 650 kotak pelbagai minuman keras yang dipercayai tidak membayar cukai kastam.

Kesemua barangan dan kedua-dua lelaki yang ditahan itu dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut, katanya.