Polis maut ditembak pemberontak Kurdish

Polis maut ditembak pemberontak Kurdish

ANKARA, 11 Nov (Reuters) – Tiga polis Turki terbunuh selepas pemberontak Kurdish melepaskan tembakan pada sebuah kereta polis di kawasan tenggara berhampiran dengan sempadan Iraq, kata sumber keselamatan, yang terbaru dalam beberapa siri pertempuran di rantau Kurdish.

Kawasan tenggara telah dibelenggu oleh beberapa pertempuran dengan pemberontak yang meninggalkan beratus orang terbunuh sejak gencatan senjata berusia dua tahun di antara kerajaan Turki dan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) menemui kegagalan pada Julai.

Sumber keselamatan berkata satu operasi besar-besaran ke atas militan PKK dilancarkan selepas serangan lewat semalam, dan seorang pegawai polis sedang menerima rawatan untuk luka yang dialaminya.

Juga semalam, seorang tentera Turki terbunuh dan 20 yang lain cedera dalam dua serangan berasingan di rantau.

Kawasan tenggara telah tertakluk kepada perintak berkurung siang dan malam sebagai respons terhadap konflik berkenaan. Sumber keselamatan berkata enam orang telah meninggal dunia dalam pertempuran di bandar Silvan di wilayah Diyarbakir sejak perintah berkurung dikenakan di sana lapan hari lalu.

Pada Khamis lalu, PKK menamatkan gencatan senjata berusia sebulan yang diisytiharnya sebelum pilihan raya pada 1 November. Pengundian itu dimenangi oleh Parti AK pimpinan Presiden Tayyip Erdogan, yang berikrar akan menentang PKK sehingga semua pejuang ‘disingkirkan.’

Erdogan telah menyelia satu proses perdamaian yang dilancarkan bersama pemimpin PKK yang dipenjarakan Abdullah Ocalan pada akhir tahun 2012 tetapi rundingan dibekukan pada April.

PKK, yang mahu autonomi untuk penduduk minoriti Kurdish Turki, disenarai sebagai pertubuhan pengganas oleh Ankara, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Ia menentang kerajaan Turki pada 1984 dan lebih daripada 40,000 orang, kebanyakan militan Kurdish, telah terbunuh dalam konflik tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA