Polis Miri mohon bantuan cari pemilik kereta

Polis Miri mohon bantuan cari pemilik kereta

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 1 Feb – Pihak Polis di Miri kini sedang mencari seorang warga Brunei, yang dikatakan pemilik kereta yang ditinggalkan berhampiran kejadian kemalangan dekat sebuah jambatan di Lutong, Miri pada 24 Januari lalu.

Kereta model Chevrolet Captiva tersebut telah disahkan sebagai milik seorang warga Brunei, menurut maklumat yang dikhabarkan dalam laman Facebook ‘Miri Community’ dan Police Traffic and JPJ Road Block Miri yang kemudiannya disahkan oleh pihak polis Miri.

Pegawai penyiasat dari Polis Miri, G. Vesanathan memberitahu Media Permata bahawa pihaknya telah meminta bantuan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) untuk membantu siasatan bagi mengetahui sama ada kereta yang ditinggalkan di Bukit Song itu mempunyai apa-apa kaitan dengan kemalangan yang meragut nyawa dua penduduk tempatan dekat Jambatan Lutong, tempoh hari.

Beliau memberitahu, sejak penemuan kereta tersebut yang dilaporkan oleh seorang penduduk tempatan di sana, pihaknya belum menerima sebarang laporan kehilangan kenderaan oleh mana-mana pihak.

Berdasarkan gambar-gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut, kereta dengan model yang sama (Chevrolet Captiva) ditemui dalam keadaan rosak teruk dengan nombor pendaftarannya dimusnahkan.

Salah satu gambar menunjukkan nombor casis pada kenderaan itu masih kelihatan dan seorang pengguna dalam laman Facebook turut memuat naik gambar salinan ‘Blue Card’ yang memaparkan spesifikasi kenderaan dengan pemiliknya sekali.

Bagaimanapun, seorang pengguna yang mendakwa sebagai pemilik asal kenderaan berkenaan tampil memberikan komen dalam ruangan Facebook tersebut dengan mendakwa keretanya itu sudah dijual pada 2010. Beliau tampil membuat laporan polis kerana kereta itu sudah berpindah tangan dengan nombor pendaftaran baru.

Bagaimanapun, G. Vesanathan berkata, kaitan kereta yang ditinggalkan dan kemalangan berkenaan hanya ‘kemungkinan’ sahaja disebabkan kes masih dalam peringkat awal siasatan dan belum ada sebarang dakwaan atau suspek yang dikenal pasti lagi.

Beliau berkata lagi, identiti pemilik kereta tersebut belum diketahui dan sedang menunggu hasil maklum balas daripada PDB.

Selain saksi tempatan yang telah mengesahkan mengenai kenderaan yang ditinggalkan itu, belum ada individu lain yang tampil ke hadapan memberikan maklumat lebih terperinci mengenai kereta tersebut atau pun kemalangan itu.