Polis mula gali kubur di Hutan Simpan Mata Ayer

Polis mula gali kubur di Hutan Simpan Mata Ayer

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan operasi menggali kubur di Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh pada Rabu ini, berikutan polis Thailand membenarkan laluan ke kawasan tersebut digunakan oleh Malaysia.

Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata sebanyak 91 kubur dikenal pasti wujud di kawasan hutan yang terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand itu.

Beliau memberitahu Bernama bahawa operasi menggali kubur di kawasan Wang Kelian telah berakhir, dan pasukan polis serta forensik akan berehat sebelum memulakan operasi di kem transit di Hutan Simpan Mata Ayer yang mengambil masa kira-kira dua jam berjalan kaki dari kem di Wang Kelian.

“Penggunaan laluan di Ban Talok, Thailand hanya mengambil masa kira-kira sejam kerana kawasannya tidak securam di laluan Wang Kelian yang mengambil masa lebih dua jam,” katanya merujuk mengenai kem transit itu yang didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim semalam.

Sementara itu, polis Kedah sedang giat mengumpul maklumat bagi mengesanidentiti individu dikenali sebagai ‘Yassin’ yang dikatakan menjadi ejen besarterlibat secara langsung ‘membeli’ mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia itu.

Pihak polis juga telah mengeluarkan arahan kepada penguatkuasaan di sempadan untuk mengetatkan kawalan.

Sementara itu, hasil maklumat risikan awal yang dilakukan Polis Kubang Pasu berjaya mengesan kira-kira 500 lagi pendatang asing tanpa izin dipercayai pelarian Rohingya berada di Danok, Thailand cuba memasuki negara ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Rahim Abdullah berkata kesemuapelarian terbabit cuba menggunakan laluan Bukit Kayu Hitam untuk masuk ke negara ini.

Sehubungan itu, polis diarahkan supaya meningkatkan kawalan keselamatan disempadan dengan Pasukan Gerakan Am, Unit Pencegah Penyeludupan dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam melakukan rondaan serta memantau kawasan sempadan.

Berikutan isu pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa pada masa ini,Polis Kelantan juga mempertingkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dinegeri berkenaan bagi mengawal aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dilaporkan berkata pihaknya mengadakan sekatan jalan raya secara bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Tumpat hingga ke Jeli.

Setakat ini, 35 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang Kelian telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.

Sementara itu, sebanyak 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia ditemui antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.

ARTIKEL YANG SAMA